Oleh DR. ISMAIL ZAIN
PERNAHKAH anda diganggu? Siapakah yang mengganggu anda? Bagaimanakah anda diganggu dan apakah kesannya terhadap diri anda?
PERNAHKAH anda diganggu? Siapakah yang mengganggu anda? Bagaimanakah anda diganggu dan apakah kesannya terhadap diri anda?
Gangguan bukan sahaja berlaku dari segi fizikal sahaja tetapi dari segi mental dan perasaan hati. Gangguan fizikal melibatkan anda disentuh oleh rakan-rakan anda pada anggota badan yang menyebabkan timbulnya rasa ketidakselesaan pada diri anda. Sentuhan ini mungkin bersifat lembut seperti mengusap bahu atau memeluk badan anda. Ia juga mungkin bertukar menjadi lebih kasar sekiranya melibatkan kesakitan seperti menepuk badan, mencubit paha atau tangan, menampar pipi dan sebagainya. Ia dilakukan sama ada hanya untuk bergurau atau sebagai satu tindakbalas yang menunjukkan rasa ketidakpuasan terhadap diri anda.
Gangguan mental kebiasaannya akan berakhir dengan gangguan perasaan hati atau jiwa. Gangguan ini mungkin disebabkan terjadinya sesuatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan seperti peristiwa kesedihan yang menimpa diri dan keluarga anda, peristiwa yang memalukan diri anda, kegagalan yang dialami, tekanan daripada keluarga dan rakan, kesibukan dan kesuntukan masa, kelalaian anda melengkapkan sesuatu tugasan dan sebagainya.
Bagi golongan remaja pula terdapat beberapa sebab terjadinya gangguan mental dan perasaan hati. Ia berpunca daripada masalah perhubungan antara remaja lelaki dan perempuan, salah faham dengan rakan, perhubungan yang tidak akrab dalam keluarga, jurang generasi lama dan baru serta budaya perlakuan yang keterlaluan.
Dalam keadaan ini peristiwa yang berlaku terhadap diri anda sama ada dari segi fizikal, mental atau perasaan akan sentiasa bermain dan terbayang dalam fikiran. Bayangan ini akan mewujudkan pelbagai perasaan seperti marah, sedih, sayu dan sebagainya. Konflik dalam diri anda akan terjadi yang akan mengakibatkan berlakunya pemberontakan dalam diri anda.
Sikap ini akan menyebabkan anda tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pembelajaran. Pada zahirnya anda tidak dapat menunjukkan satu bentuk peribadi yang baik dan mulia. Anda tidak ceria, murung, kurang bertenaga, suka bersendirian, prestasi pelajaran terjejas atau anda akan menjadi seorang pelajar yang agresif, suka mengganggu rakan, suka menonjol diri secara biadap dan tidak ingin kepada pembelajaran.
Pelajar begini akhirnya akan menemui kegagalan jika tidak dibimbing dan dibendung. Oleh itu langkah-langkah perubahan diri haruslah dilakukan dengan segera oleh anda sendiri demi untuk mempastikan masa hadapan yang lebih cemerlang dapat dicapai oleh anda.