oleh DR ISMAIL ZAIN
(Portal Pendidikan Utusan)
Siapa yang digelar remaja? Sememangnya anda pelajar sekolah hinggalah ke pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) tergolong dalam golongan remaja. Sebagai seorang remaja yang sihat anda menjadi harapan keluarga dan negara. Harapan yang murni ini tidak harus dipersia-siakan kerana andalah generasi yang akan mewarisi segala bentuk agenda negara.
Memandangkan betapa pentingnya peranan anda marilah kita renungi ciri-ciri remaja yang sihat yang boleh memberi sumbangan yang bermakna kepada negara.
• Ketahanan fizikal: Sebagai remaja anda mempunyai daya ketahanan yang tinggi iaitu bertenaga, sihat, kuat dan mampu menggunakannya dalam sebarang aktiviti. Oleh itu pastikan segala tenaga yang Allah anugerahkan kepada kita digunakan secara maksimum dan bijak ke jalan yang betul dan menguntungkan. Tenaga yang banyak itu janganlah dicurahkan ke dalam kegiatan yang boleh menjerat diri sendiri ke arah kemusnahan. Alangkah ruginya diri anda, keluarga dan negara jika perkara ini berlaku.
• Kehendak yang tinggi: Remaja inginkan kemewahan, keindahan & penghormatan. Jika anda mempunyai kehendak seumpama ini, anda ialah seorang remaja yang sihat dan hebat. Walau bagaimanpun keinginan kepada unsur-unsur kemewahan, keindahan dan penghormatan bukan bermakna ia ditujukan pada aspek material sahaja seperti memakai baju yang berjenama dan mahal, melakukan tindakan yang agresif atau berbelanja atau berada di tempat-tempat yang ekslusif. Sebenarnya kemewahan anda terletak kepada pemikiran anda, penghormatan anda pula terletak kepada prestasi akademik dan kokurikum yang anda ceburi, tingkah laku serta penampilan diri yang sihat.
• Tabiat & amalan: Sebagai remaja anda juga inginkan kebebasan iaitu tidak suka dikongkong, mahu membuat keputusan sendiri serta ingin berdikari. Syabas! Ini merupakan ciri-ciri yang amat positif jika diamalkan secara sempurna melalui bimbingan yang baik. Kebebasan dan berdikari bukan bermakna anda melakukan tanpa bimbingan. Sebenarnya kebebasan dan berdikari ialah satu amalan yang dilakukan setelah mendapat bimbingan yang sempuran daripada mereka yang pakar atau lebih berpengalaman dan berpengetahuan dari kita. Ini bermakna dalam proses kita berdikari dan mendapat kebebasan kita juga harus mendapat bimbingan yang banyak, rujukan yang mendalam, ilmu yang padat agar segala amalan dan tindakan kita itu adalah mengikut lunas-lunas kehidupan yang tepat, unggul dan mendapat keberkatan daripada Allah.
Justeru, marilah kita sebagai remaja yang sihat mengamalkan nilai-nilai murni yang disebutkan di atas supaya kehidupan kita di dunia ini akan selamat serta dapat membentuk satu generasi yang mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada bangsa dan negara.