LAMAN UTAMA



Isnin, 18 Januari 2010

Digantung Sekolah

Oleh HANIZA HASSAN
Utusan Malaysia (18.1.2010)

JOHOR BAHRU 17 Jan. – Kementerian Pelajaran tidak teragak- agak untuk menggantung atau membuang pelajar yang didapati mengingkari peraturan pemakaian topi keledar ketika menunggang motosikal di kawasan sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, tindakan akan diambil sekiranya pelajar terbabit masih ingkar setelah menjalani beberapa sesi kaunseling dan penyelesaian lain termasuk memanggil ibu bapa atau penjaga.
Katanya, sekiranya ia berlaku di luar kawasan sekolah, pihak polis boleh menyaman pelajar berkenaan di atas kapasiti penunggang motosikal dan pihak kementerian bersedia untuk memberi kerjasama.

Beliau berkata, sekolah adalah platform terbaik untuk mendidik pelajar dan bukannya satu medan menghukum bagi setiap kesalahan yang dilakukan.
“Dalam sekolah memang bidang kuasa pihak sekolah. Setiap keputusan akan dibuat berdasarkan Disiplin Pelajar Kaedah 1959 selain melihat betapa serius kesalahan tersebut.
“Kalau tegur pun tidak memberi sebarang kesan maka kita akan ambil tindakan yang sewajarnya.
“Sekiranya mereka masih enggan mematuhi peraturan berkenaan, pihak sekolah boleh menghubungi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut Ka Siong lagi, tabiat memakai topi keledar hanya ketika sekatan jalan raya atau terserempak dengan pihak berkuasa perlu dikikis sebelum ia menjadi sebati dalam diri masyarakat.